
KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah melancarkan Kempen Siap Siaga Musim Perayaan 2026 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko kebakaran.
Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, kempen berkenaan merupakan inisiatif tahunan jabatan berkenaan dalam usaha mengurangkan kes kebakaran sepanjang musim perayaan.
“Musim perayaan sering kali menyebabkan masyarakat terlalu fokus kepada persiapan dan sambutan sehingga terlepas pandang aspek keselamatan.
“Statistik tahun lalu merekodkan lebih 1,900 panggilan kebakaran diterima pihak Bomba dan kami bertekad untuk mengurangkan angka tersebut pada tahun ini melalui kerjasama serta sokongan orang ramai
“Justeru, kesedaran awal amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan, di sini pada Sabtu.
Tambah Mohd Pisar, sepanjang tempoh operasi khas berkenaan, sebanyak 80 peratus anggota JBPM Sabah akan bertugas dua minggu sebelum dan dua minggu selepas musim perayaan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
Mohd Pisar turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan suis elektrik dimatikan apabila tidak digunakan, penggunaan dapur gas dipantau dengan baik serta tidak meninggalkan aktiviti memasak tanpa pengawasan.

Beliau turut menggesa orang ramai agar memastikan peralatan elektrik yang digunakan mempunyai pensijilan keselamatan yang sah bagi mengelakkan risiko kebakaran.
Ibu bapa juga diingatkan agar mengawasi anak-anak supaya tidak bermain mercun atau bunga api tanpa pemantauan kerana ia boleh mencetuskan kebakaran serta kecederaan.
Pada majlis sama, JBPM Sabah turut memperkenalkan sebuah kenderaan penyelamat baharu yang dilengkapi kemudahan moden bagi mempertingkat kecekapan operasi, khususnya dalam menangani kes-kes penyelamatan di kawasan bandar.




