
TAWAU – Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyokong penuh usaha mewujudkan lebih banyak pasukan bomba komuniti di kawasan kediaman termasuk perkampungan atas air.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, pasukan bomba komuniti seperti Bomba Komuniti Kampung (Kg) Titingan dilihat berkesan dalam membantu dalam operasi memadam kebakaran yang berlaku di Kg Sri Aman, pada Ahad.
“Ini boleh menjadi contoh kepada kampung-kampung lain khususnya yang tinggal di atas air ini.
“Jadi sebagai pemimpin saya sokong usaha ini agar lebih banyak bomba komuniti diwujudkan sebagai langkah awal pencegahan kebakaran,” katanya kepada media selepas melawat mangsa dan meninjau lokasi kebakaran di Kg Sri Aman.
Dalam pada itu, Nizam turut menasihati agar penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan atas air lebih waspada apabila melakukan aktiviti harian seperti memasak atau membuat penyambungan elektrik bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Kita maklum bahawa kawasan seperti ini kepadatan rumah itu begitu tinggi.
“Oleh itu, apabila berlaku suatu musibah seperti kebakaran cepat merebak ke kawasan lain,” katanya.
Nizam turut menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba Komuniti Titingan kerana bertungkus-lumus sepanjang operasi memadam kebakaran.






