UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu melakukan penerbangan ihsan bagi menghantar bekalan makanan ke kawasan terputus hubungan susulan bencana banjir gelombang ketiga yang melanda negeri ini sejak semalam.
Pengarah JPBM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, penerbangan pada pagi tadi dilakukan bagi menghantar 350 kilogram (kg) barangan keperluan asas menggunakan helikopter jenis Agusta AW 139.
“Barangan ini dihantar ke Kampung Langkap, di Setiu yang terputus hubungan akibat banjir sejak semalam.
“Ia berikutan jalan utama ke kampung itu terputus selepas dinaiki air sedalam 3 meter malam tadi.
“Antara yang dihantar adalah barangan keperluan makanan seperti beras, gandum dan air,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Mahathir memaklumkan, penerbangan tersebut bermula jam 10 pagi dan selesai kira-kira jam 11.15 pagi.
“Helikopter yang sama kini menuju ke Gua Musang, Kelantan bagi penghantaran 20 tan bekalan asas ke Pos Orang Asli.
“Proses penghantaran barangan ini diketuai Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Ruzaidi Ramlee bersama tujuh kru lain termasuk pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.







