
KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan memindahkan jenazah selepas kenderaan yang membawanya terkandas akibat banjir di Jalan Kuantan–Pekan berhampiran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kenderaan terbabit membawa jenazah seorang wanita warga emas berusia 76 tahun dalam perjalanan ke Kuala Pahang, Pekan.
Menurutnya, wanita itu difahamkan meninggal dunia di Indera Mahkota akibat kanser sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan.
“Disebabkan van jenazah tidak dapat melintasi kawasan banjir, orang awam memohon bantuan JBPM bagi membantu urusan penghantaran jenazah tersebut.
“Bertindak pantas atas permohonan itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu diketuai Hazizi Shahi menggerakkan sebuah lori JBPM untuk membawa jenazah dari lokasi kejadian ke Inderapura,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, operasi memindahkan jenazah berjaya dilaksanakan dengan selamat dan lancar.







