
BARISAN Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mengadakan pertemuan tidak rasmi dalam rangka memupuk semangat Perpaduan selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam kenyataan media bersama itu memaklumkan, inti pati agenda pertemuan tersebut, kedua-dua pihak iaitu BN dan PH Sabah berkongsi aspirasi untuk memastikan asas-asas kerjasama akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Bagi maksud itu, kedua-dua parti bersetuju untuk mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti-parti lain sebagai persediaan memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan kedua-dua parti,” kata kenyataan berkenaan.
Kenyataan media bersama di Kota Kinabalu pada Selasa itu dibuat oleh Pengerusi BN Sabah/Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Raden; Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Juga Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang; Pengerusi MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin; Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin; Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhmad Kadir dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.




