
MOOD Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dilihat berpihak kepada Barisan Nasional (BN) menjelang tiga hari lagi untuk hari membuang undi.
Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang berada di dalam Parlimen Tapah merupakan simbol yang menunjukkan masyarakat yang suka kepada perpaduan.
“Saya tahu kawasan ini kerana saya pernah menjadi Menteri Besar Perak dahulu, Tapah adalah Parlimen contoh kerana ketiga-tiga kaum dapat bekerjasama dengan begitu baik sekali.
“Ayer Kuning sebahagian dalam Parlimen Tapah dari segi politiknya begitu baik sekali, jadi saya harap masyarakat di sini menjaga keharmonian yang menjadi simbol yang baik.
“Parlimen Tapah begitu baik sebab itu kita ada wakil rakyat dari MIC (Parlimen Tapah), MCA (DUN Chenderiang) dan UMNO di DUN Ayer Kuning. Ini bukan kali pertama berlaku,” katanya.
Menteri Pengajian Tinggi itu ditemui media selepas program Out Reach Kementerian Pengajian Tinggi di Ayer Kuning, hari ini.

Bagaimanapun, Zambry mengingatkan mood pilihan raya yang baik ini mesti dikekalkan dan mengelakkan cara berkempen negatif yang keterlaluan.
“Saya harap masyarakat di sini dapat melihat kesemuanya ini, mood yang ada Insya-Allah kita akan bekerja bersama-sama, kita tidak mahulah bersikap bongkak, kita berkeyakinan tapi kita kekalkan cara berkempen Barisan Nasional.
“Kita terus bekerja dan bekerja untuk rakyat tanpa membuat kenyataan-kenyataan yang keterlaluan, tidak bermain sentimen-sentimen yang boleh merosakkan dari segi hubungan, kehidupan rakyat, kita ada cara kita berkempen,” katanya.
Hari membuang undi PRK Ayer Kuning pada 26 April akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
BN mempertaruhkan kredibiliti Dr Ustaz Yusri Bakir yang ditentang calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).





