
MUSANG King kekal sebagai durian paling digemari dan mendominasi pasaran eksport negara, namun landskap industri durian tempatan kini menyaksikan kemunculan varieti baharu yang mula menambat hati peminat raja buah itu.
Varieti seperti Black Thorn, Udang Merah dan Hajah Hasmah semakin mendapat perhatian, bukan sahaja kerana rasa unik dan tekstur lemak berkrim, tetapi juga berpotensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa yang semakin luas.
Bagi memenuhi permintaan global yang kian meningkat, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan giat mempromosikan varieti premium ini sebagai alternatif baharu kepada Musang King. Varieti seperti Sultan dan Tekka juga terus mendapat sambutan kerana harganya yang lebih mampu milik dan citarasa klasik.
Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, Musang King dan Bukit Merah masih merupakan dua varieti utama yang disyorkan untuk eksport berikutan teksturnya yang lemak berkrim serta rasa yang kuat dan digemari ramai.
Bagaimanapun, katanya, beberapa varieti premium lain sedang dinilai dari segi potensi rasa, tekstur, jangka hayat serta kesesuaian penghantaran jarak jauh bagi tujuan pensijilan dan kesediaan eksport.
“Rakyat China khususnya sanggup membayar harga premium untuk menikmati varieti durian ini. Justeru, kami sedang menjalankan penilaian agronomi serta memastikan pematuhan kepada syarat negara pengimport,” katanya, lapor The Star.
Antara prosedur yang diteliti termasuk kaedah penyahserangga seperti rawatan haba wap, sistem pengesanan (traceability) dan skim pensijilan ladang eksport.
Usaha ini selari dengan matlamat Jabatan Pertanian untuk mempelbagaikan varieti durian Malaysia di pasaran antarabangsa, memperkukuh daya saing industri serta memaksimumkan nilai eksport.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula mendapati permintaan terhadap pelbagai profil rasa durian semakin meningkat, sejajar dengan perubahan citarasa pengguna yang kini lebih terbuka mencuba varieti baharu.
“Kami lihat pengguna semakin berani mencuba. Mereka mencari rasa yang unik dan tersendiri. Varieti klasik seperti D24 dan Tekka turut kembali mendapat tempat kerana harganya yang lebih mampu milik dengan ciri rasa tradisional,” menurut kenyataan MARDI.
MARDI juga sedang membangunkan hibrid baharu untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Antaranya, MDUR 88 (D190), iaitu kacukan antara D10 dan D24, yang berwarna kuning keemasan, sedikit melekit, berkrim dan dikatakan hampir setanding dengan Musang King. Varieti ini kini dikenali sebagai Mardi Super 88 dan sedang giat dipromosikan untuk eksport.
Selain itu, MARDI turut membangunkan hibrid lain seperti MDUR 78 (D188) dan MDUR 79 (D189) yang berpotensi memberikan hasil lebih tinggi serta lebih tahan penyakit. Beberapa hibrid baharu juga sedang dinilai di bawah program hibridisasi kedua yang dimulakan sejak akhir 1980-an, dan dijangka diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Pengarah Urusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri pula berkata, selain Musang King, varieti premium seperti D24, Black Thorn, IOI dan D9 telah dihantar untuk penilaian pematuhan ke pasaran utama seperti China.
“FAMA juga giat memperluas pasaran eksport ke negara lain seperti Britain, Kanada, Emiriah Arab Bersatu, Australia dan Belanda,” katanya.
Antara inisiatif yang diambil termasuk penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa, kerjasama dengan platform pasaran digital, promosi dalam kedai serta program kesedaran bersama kedutaan Malaysia di luar negara.
Tambah beliau, kementerian turut memperkukuh penjenamaan hasil pertanian negara menerusi pensijilan Malaysia’s Best, yang menjamin mutu dan keselamatan produk.
Pada 2023, Malaysia mengeksport sebanyak 54,374 tan durian bernilai RM1.51 bilion, dengan lebih 45.7 peratus daripadanya dieksport ke China. Jumlah ini dijangka terus meningkat selepas China meluluskan kemasukan durian segar dari Malaysia.
Data Jabatan Pertanian menunjukkan keluasan tanaman durian di negara ini turut berkembang, daripada 70,286 hektar pada 2019 kepada anggaran 92,129 hektar menjelang 2024.
Pengeluaran durian negara pula dijangka meningkat daripada 390,635 tan pada 2020 kepada 568,852 tan pada 2025, dipacu oleh permintaan global yang tinggi, terutamanya terhadap varieti premium.