KOTA KINABALU – Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bakal menganjurkan Program Kesihatan ‘Lead with Life’ pada 9 dan 10 November depan bagi merekrut penderma darah baharu khususnya belia wanita ahli PGRS.
Pengerusi Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita PGRS, Dr. Davina Markus Majihi berkata beliau percaya bahawa langkah pertama untuk memberi kesedaran dan inspirasi kepada masyarakat luar adalah dengan menunjukkan teladan dari dalam parti sendiri.
“Belia wanita di PGRS diharapkan akan tampil ke hadapan dan menjadikan derma darah sebagai satu tanggungjawab sosial dan tanda komitmen kepada masyarakat.
“Ini adalah kesempatan bagi ahli wanita kita untuk memperlihatkan bahawa pemimpin wanita mampu menjadi penggerak masyarakat yang berdedikasi dan berwibawa dalam usaha kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Jelasnya, program ini juga menawarkan ruang khas untuk penderma baharu yang dilengkapi dengan sudut kafe, cenderahati eksklusif, pemeriksaan gigi dan kesihatan percuma.
Melalui program ini, Davina berharap mesej kesedaran tentang kepentingan derma darah dapat disebar luaskan ke seluruh negeri, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Tambah beliau, pihaknya mengalu-alukan sokongan semua pihak untuk menjayakan program ‘Lead With Life’ yang akan diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) selama dua hari.




