
KOTA KINABALU – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee membangkitkan kebimbangan mengenai masa depan projek Lebuhraya Pan Borneo sekiranya parti Warisan kembali memimpin kerajaan negeri.
Jelasnya, tindakan kerajaan Warisan pada tahun 2019 yang membatalkan model pelaksanaan Project Delivery Partner (PDP) untuk projek berkenaan, satu keputusan yang disifatkan sebagai kesilapan besar dalam sejarah pembangunan Sabah.
“Gara-gara keputusan itu, 12 pakej projek di bawah seliaan PDP terhenti dan jumlah pampasan yang dibayar setakat 2019 mencecah RM651 juta, melibatkan seramai 1,591 pemilik tanah dan struktur.
“Ini bukan angka kecil. Dalam bahasa sains politik, ia adalah contoh klasik bagaimana keputusan populis yang terburu-buru tanpa analisis kos faedah boleh menghasilkan kos yang tinggi, hasil yang rendah disebabkan kegagalan dasar.
“Pampasan besar telah dibayar, tetapi hasilnya ialah projek yang terbengkalai, rakyat yang menanggung derita dan masa pembangunan Sabah yang terbuang,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Tambahnya, pembatalan ini menjerat kerajaan sendiri kerana mekanisme pembiayaan melalui sukuk dan PDP yang sudah dirangka tidak lagi dapat digunakan.
“Akhirnya, projek Pan Borneo terpaksa bergantung kepada peruntukan pembangunan kerajaan yang terbatas, satu langkah mundur yang melambatkan jadual pelaksanaan dan membebankan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Awang turut memberi amaran supaya projek Pan Borneo tidak dijadikan alat percaturan politik, sambil menuntut Warisan menyatakan pendirian jelas mereka terhadap kesinambungan projek berkenaan.
“Persoalan besar kini timbul, jika Warisan kembali memimpin Sabah, adakah Pan Borneo sekali lagi akan menjadi mangsa?
“Rakyat berhak tahu pendirian mereka. Jangan ulangi kesilapan 2019,” ujarnya.
Katanya lagi, projek Pan Borneo bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi simbol kepada pembangunan berterusan, keadilan ekonomi dan masa depan rakyat Sabah.






