PUTRAJAYA – Struktur tarif elektrik baharu yang bermula pada Selasa membenarkan pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneliti secara terperinci setiap sen yang dibelanjakan bagi penggunaan elektrik menerusi format bil baharu.
Berdasarkan laman sesawang rasmi myTNB, pengguna akan menerima bil yang memaparkan pecahan tiga komponen utama, iaitu caj penjanaan, caj rangkaian dan caj peruncitan.
“Caj Penjanaan merangkumi kos bahan api, kapasiti penjanaan dan pelarasan harga bahan api global, Caj Rangkaian melibatkan kos operasi penghantaran dan penyelenggaraan sistem bekalan.
“Manakala Caj Peruncitan membabitkan kos perkhidmatan pelanggan, pengebilan serta pengurusan akaun,” menurut laman sesawang itu.
Mengulas lanjut, TNB memaklumkan, struktur baharu yang diluluskan kerajaan melalui mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) selaras Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990 itu dirangka bagi mengubah pemikiran rakyat ke arah penggunaan tenaga yang mengutamakan kelestarian dan kecekapan tenaga.

Katanya, bil lebih terperinci itu bertujuan meningkatkan tahap ketelusan, selain membantu pengguna memahami dengan lebih jelas struktur bil elektrik mereka, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Maklumat ini membolehkan bil elektrik lebih telus serta pelanggan TNB dapat meneliti perincian setiap sen yang dibelanjakan, seterusnya membuat keputusan lebih bijak dalam pengurusan tenaga harian.
“Sebagai pengguna, anda kini mempunyai lebih kawalan ke atas penggunaan tenaga dan perbelanjaan anda,” katanya.
TNB turut memaklumkan pelanggan pada Julai akan menerima bil peralihan yang memaparkan dua caj penggunaan bagi tempoh berbeza, iaitu hingga 30 Jun 2025 (dikira mengikut tarif lama) dan bermula 1 Julai 2025 (berdasarkan struktur tarif baharu).
“Bil peralihan bulan Julai 2025 akan tersedia dalam tempoh 24 jam melalui aplikasi dan portal myTNB, manakala bagi pelanggan yang menerima bil bercetak, penghantaran bil akan dihantar dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh bacaan dibuat,” katanya.
Bagi memastikan ketelusan dan kejelasan kepada pelanggan, TNB memaklumkan pihaknya akan mengedarkan risalah pengesahan daripada pembaca meter sebagai bukti bahawa bacaan meter telah dilakukan.
Bermula Ogos 2025 para pelanggan akan menerima bil elektrik yang memaparkan komponen bil secara menyeluruh mengikut struktur baharu.
Selain itu, bagi membantu pengguna menyesuaikan diri dengan perubahan itu, TNB turut menyediakan Kalkulator Bil Elektrik dalam talian di laman sesawang rasmi myTNB bagi membolehkan pelanggan membuat anggaran bil berdasarkan penggunaan dan kadar tarif baharu.
Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi www.mytnb.com.my/tariff atau hubungi TNB CareLine di 1300-88-5454, juga di semua cawangan Kedai Tenaga seluruh negara.



