
KOTA KINABALU – Kestabilan politik dan kebajikan rakyat perlu diutamakan kata Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin.
Menurut beliau, kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik keyakinan pelabur.
“Biarlah kerajaan kegeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan pelaksanaan projek-projek serta aktiviti-aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar.
“Kami yakin pengundi-pengundi di negeri ini amat bijaksana dan akan memilih pimpinan yang berintegriti pada pilihan raya akan datang, biar mereka memilih secara demokrasi,” ujarnya menerusi kenyataan media di sini pada Ahad.
Tambah beliau, PKR Sabah memandang serius kes penularan video-video yang heboh diperkatakan terkait individu-individu dalam pentadbiran Sabah.
Katanya, seperti yang semua sedia maklum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun memulakan siasatan dan telah memanggil beberapa pihak.
“PKR Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Kerajaan Madani yang tegas dalam membanteras barah rasuah tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.
“Pihak berkuasa dan institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya,” katanya.





