
PAPAR – Insiden tanah runtuh berlaku di negeri ini merupakan tragedi besar yang menyayat hati dan bencana alam seharusnya ditangani secara bersama tanpa dipolitikkan, kata Ketua Cabang PKR Papar, Roslee Malek.
Katamya, dua kejadian tanah runtuh yang berlaku serentak di Kampung (Kg) Mook dan Kg Marahang, Papar semalam meragut tujuh nyawa termasuk lima warga tempatan, sekali gus menggemparkan penduduk setempat dan seluruh negeri Sabah.
“Saya sendiri kehilangan lima orang warga Papar akibat kejadian ini.
“Ia satu tragedi besar yang cukup menyedihkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk segera menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa dan kawasan terjejas.
“Insya-Allah, bantuan Kerajaan MADANI akan sampai dalam masa terdekat ke seluruh kawasan terjejas di Sabah.
“Setakat ini hampir 100 orang mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan jumlah itu dijangka meningkat sekiranya keadaan cuaca tidak bertambah baik dalam tempoh terdekat,” jelasnya.
Tambahnya, misi penyaluran sumbangan itu turut mewakili Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Sementara itu, turut hadir dalam penyerahan bantuan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong; Setiausaha MPN Sabah, Abdul Razak Jamil dan Bendahari Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Nordin Ening.
Pihak berkuasa kini giat menjalankan kerja-kerja pemantauan dan pembersihan kawasan tanah runtuh sambil menilai risiko susulan yang mungkin mengancam keselamatan penduduk berhampiran.




