PUTRAJAYA – Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan belum menerima sebarang laporan berkaitan rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung akibat serangan di selatan Thailand, awal pagi Ahad.
Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan tumpuan yang mempunyai kawalan keselamatan tinggi di wilayah tersebut.
Pada masa sama, mereka juga disaran mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi.
“Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka bagi memudahkan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan segera jika diperlukan.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 11 stesen minyak di tiga wilayah selatan Thailand, iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat digegarkan dengan letupan bom yang berlaku secara serentak pada awal pagi tadi.
Serangan bom yang berlaku kira-kira pukul 1.04 pagi itu membabitkan lima stesen minyak PPT di Narathiwat, empat di Yala dan dua lagi stesen minyak di Pattani.
Pihak berkuasa percaya serangan terhadap semua stesen minyak itu membabitkan lebih 50 anggota kumpulan pemberontak yang lengkap bersenjata api.







