
IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanfaatkan peruntukan tambahan untuk program Rakan Muda dalam Belanjawan 2026 bagi usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan peningkatan peruntukan sebanyak 60 peratus iaitu RM40 juta bagi program Rakan Muda pada tahun hadapan.
“Salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kami adalah menggunakan program Rakan Muda untuk membantu mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia.
“Satu faktor utama pengangguran belia ialah kekurangan kemahiran atau penguasaan Bahasa Inggeris.
“Dengan peruntukan tambahan di bawah usaha Rakan Mahir, kami akan memperkasakan golongan belia supaya angka pengangguran dapat diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, dekat sini, pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah; serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Hannah juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai sektor pembangunan sukan yang menerima suntikan lebih RM580 juta melalui Belanjawan 2026.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai pengiktirafan dan keyakinan kerajaan terhadap program pembangunan sukan yang dijalankan KBS.
Daripada jumlah tersebut, RM160 juta diperuntukkan untuk Program Podium dan Road to Gold (RTG), manakala RM120 juta disalurkan bagi persiapan Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027.
“Hasrat kami adalah melicinkan proses permohonan Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti, supaya dana ini dapat sampai ke peringkat akar umbi bagi latihan dan persediaan atlet,” tambahnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat Jumaat lalu, Anwar menyatakan peruntukan sektor sukan berkenaan merangkumi pemerkasaan sukan berprestij tinggi, sokongan terhadap atlet para dan atlet orang pekak, penyelenggaraan serta pembaikan kemudahan belia dan sukan di seluruh negara, termasuk menaik taraf padang sekolah Kementerian Pendidikan.





