
PUTRAJAYA – Pengagihan peruntukan dalam Belanjawan 2025 dikira sebagai paling tepat dan berkesan untuk dilaksanakan pada masa kini bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutamanya dari segi penjimatan perbelanjaan barangan keperluan asas harian.
Felo Penyelidik Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam merangkap Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Fuadah Johari berkata, Belanjawan 2025 dilihat efektif kerana ia mengekalkan subsidi untuk bahan api dan elektrik bagi 85 peratus rakyat dan memperkenalkan peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, serta menyediakan bantuan tunai kepada golongan yang memerlukan.
Menurutnya, melalui penganjuran program ikhtiar menangani kos sara hidup dengan lebih meluas seperti program payung Rahmah dan memperbanyakkan kerjasama antara pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani dan koperasi sudah pasti ia dapat mengawal harga pada kadar mampu beli.

“Selain itu, reformasi dalam pendidikan dan kesihatan turut membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan hak pendidikan dan perawatan kesihatan yang sewajarnya dan mampu dibayar.
“Kerajaan dilihat lebih berfokus kepada pengurangan hutang dan defisit, yang mana ia boleh menjamin kestabilan ekonomi dalam jangka masa yang panjang sekaligus menangani inflasi dan kos sara hidup.
“Secara keseluruhan, Belanjawan 2025 menekankan untuk menangani isu kos sara hidup, memperbaiki infrastruktur, serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.
Tambahnya, pembangunan rumah mampu milik dan penyediaan dana awam pembelian rumah di atas tanah-tanah wakaf melalui penglibatan agensi kerajaan bukan sahaja menggerakkan ekonomi kewangan sosial Islam malah mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah.
“KWAP menyediakan dana RM300 juta untuk membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada para pesara pendapatan rendah manakala UDA pula dengan dana RM200 juta akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf.
“Ia secara tidak langsung dapat menyeimbangkan pasaran perumahan yang tidak mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana trend pemilikan rumah berkonsepkan gaya hidup yang mahal dalam pasaran semasa,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai cadangan kerajaan untuk melakukan penyasaran subsidi pula, Fuadah berkata, penyasaran subsidi mengikut tahap pendapatan tidak sepatutnya menjadi masalah kerana subsidi seperti elektrik, diesel dan petrol RON95 terus diberikan kepada rakyat, namun dengan sasaran yang lebih tepat untuk mengelakkan ketirisan.
“Bagi golongan berpendapatan tinggi (T15) yang terkecuali daripada subsidi ini boleh bertukar kepada pemilikan kenderaan elektrik dan menggalakkan permintaan pemasangan solar di kediaman masing-masing.
“Ia bukan sahaja boleh menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih mesra alam sekitar malah pengguna T15 masih berpeluang menikmati penjimatan yang lebih baik sebagai alternatif kepada penggunaan elektrik konvensional dan subsidi diesel serta petrol RON95 melalui tenaga solar mengikut kemampuan mereka,” ujarnya.
Belanjawan 2025 juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memperkasa sektor agama dengan memgembangkan pensijilan halal negara ke peringkat antarabangsa dengan memperuntukkan sebanyak RM35 juta pemberian sumbangan khas kepada 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Menurut Fuadah, peningkatan atau pengekalan sumbangan kepada golongan tersebut menunjukkan pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam membentuk masyarakat yang berakhlak dan berilmu agama.
“Pensijilan halal memainkan peranan penting dalam ekonomi, terutamanya dalam memastikan produk tempatan memenuhi piawaian syariah serta menarik pelabur dan pengguna antarabangsa. Langkah ini juga membantu industri makanan, kosmetik, farmaseutikal, dan perkhidmatan yang semakin berkembang di bawah sektor halal.

“Guru KAFA memainkan peranan penting dalam pendidikan agama, manakala tok siak memelihara rumah ibadat, menguruskan operasi harian masjid, dan memastikan masjid berfungsi sebagai pusat komuniti yang aktif dan kesejahteraan tenaga pengajar agama di peringkat akar umbi terjaga,” katanya.







