KUANTAN – Bekalan petrol subsidi RON95 di Kuala Tahan, Jerantut, kembali pulih selepas dilaporkan mengalami gangguan sejak Rabu.
Perkara itu dimaklumkan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang melalui satu kenyataan susulan dakwaan terdapat gangguan bekalan di kawasan terbabit.
Katanya, kawasan Kuala Tahan adalah antara zon di bawah program pengedaran barang perlu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
“Semakan mendapati bekalan petrol kembali seperti sediakala apabila pihak transporter yang dilantik KPDN membuat penghantaran bekalan petrol pada hari yang sama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tiada isu bekalan petrol terputus seperti didakwa.
“Cuma, sedikit kekeliruan harga petrol apabila penyasaran subsidi petrol yang mula dilaksanakan pada 30 September lalu,” katanya.




