KUALA LUMPUR – Malaysia tidak dijangka berdepan masalah bekalan minyak dalam beberapa bulan akan datang walaupun harga bahan api berpotensi mengalami turun naik susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu disokong keupayaan Petronas yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pengurusan bekalan tenaga serta hubungan kerjasama baik dengan negara pengeluar minyak.
“Kita juga adalah pengimport bersih kerana produk kita adalah jenama premium yang harganya sedikit lebih tinggi, namun kita masih mengimport.
“Pujian harus diberikan kepada Petronas kerana mereka mempunyai rekod prestasi yang cemerlang serta hubungan yang baik dengan negara pengeluar minyak.
“Justeru, kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat sedikit gangguan harga tetapi bagi beberapa bulan akan datang, bekalan adalah agak terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut memberi jaminan bahawa bekalan gas asli cecair (LNG) negara kekal mencukupi kerana Malaysia merupakan antara pengeluar utama bahan api itu, selain terus menerima bekalan import daripada Australia yang telah lama terjalin serta perolehan dari Kanada.
Sementara itu, kerajaan mengambil langkah menyelaras sementara kelayakan penggunaan subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan yang berkuat kuasa 1 April lalu.
Pelarasan berkenaan dibuat sebagai pendekatan bersasar bagi memastikan subsidi bahan api terus memanfaatkan sebahagian besar rakyat, selain mengambil kira ketidaktentuan pasaran minyak dunia dan kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan tenaga serta ekonomi global.
Kerajaan memaklumkan langkah itu tidak memberi kesan besar kepada pengguna memandangkan data penggunaan menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api setiap bulan.







