
KOTA KINABALU – Gangguan bekalan elektrik di kawasan Kampus INTAN Telipok dan sekitarnya pada 3 Ogos lalu berpunca daripada kejadian kecurian kabel pada talian 33kV yang menghubungkan PPU Kibing ke PPU Menggatal.
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Ir. Ts. Mohd Yusmanizam Mohd Yusuf berkata, pasukan baik pulih bertungkus-lumus bekerja tanpa henti sebelum bekalan dapat disambung semula sepenuhnya pada pukul 5.14 pagi, 4 Ogos.
“Kelewatan disebabkan tahap kerosakan yang besar berpunca daripada cubaan mencuri dengan memotong kabel elektrik 33kV,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, cubaan mencuri kabel bawah tanah di kawasan Telipok pada awal pagi Ahad telah menyebabkan kerosakan serius pada kabel 33kV dan menjejaskan bekalan sejak tengah hari.
Kata beliau, pasukan teknikal digerakkan serta-merta untuk melaksanakan kerja pembaikan sepanjang malam, manakala lima buah janakuasa bergerak turut ditempatkan bagi menyalurkan bekalan sementara ke kawasan terjejas.
“Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna yang terjejas atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pemulihan,” katanya.
Orang ramai diseru agar sentiasa peka terhadap sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa atau Sabah Electricity Careline di talian 15444 atau WhatsApp 019-852 5427.





