
KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) berjaya menyambungkan semula talian 275kV Kolopis-Segaliud sekali gus memulihkan bekalan elektrik ke kawasan pantai timur Sabah yang terjejas sejak Sabtu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity , Datuk Mohd Yaakob berkata, pihaknya sedang memantau dengan teliti dan menyelaraskan penghantaran secara berperingkat tenaga agar setiap kawasan menerima bekalan elektrik secepat mungkin tanpa menjejaskan keutamaan keselamatan.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama pasukan teknikal di lapangan, barisan pengurusan serta warga kerja di belakang tabir yang menyelaras operasi di pejabat dan kawasan.
“Dan tidak lupa, sokongan padu para pengguna di seluruh Sabah, Kerajaan Negeri Sabah dan Lembaga Pengarah Sabah Electricity,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Dalam pada itu, Sabah Electricity turut memohon doa orang ramai untuk seorang kakitangannya yang masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di Keningau.
“Terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan sokongan sepanjang tempoh mencabar tersebut.
“Sekiranya masih terdapat gangguan bekalan, sila hubungi kami di talian 15444 atau melalui aplikasi Sabah Electricity,” tambahnya.







