
LIMBANG – Penduduk di kawasan sepanjang laluan baharu dari Kampung Mengatai hingga Telahak berharap isu kemudahan asas dapat diselesaikan segera susulan bekalan elektrik dan air bersih masih belum disalurkan sepenuhnya ke penempatan baharu di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, permohonan bagi pembinaan tiang elektrik baharu serta penyambungan paip bekalan air telah dibuat sebaik sahaja projek jalan baharu itu siap pada tahun 2023.
Menurutnya, pembukaan laluan berkenaan telah menggalakkan penduduk berpindah dari kawasan berhampiran sungai ke penempatan di sepanjang jalan utama, sekali gus menyaksikan pertambahan rumah baharu dan peningkatan keperluan terhadap kemudahan asas.
“Apabila jalan baharu siap dibina, ramai penduduk mula mendirikan rumah di kawasan tepi jalan.
“Namun sehingga kini, tiang elektrik masih belum dibina menyebabkan bekalan elektrik tidak dapat disalurkan kepada penduduk. Situasi sama turut melibatkan bekalan air bersih apabila paip sambungan masih belum tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri lawatan bersama Menteri Pendidikan ke Sekolah Kebangsaan Limpaku Pinang baru-baru ini.

Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang memaklumkan bahawa permohonan berkaitan turut diajukan kepada kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi mempercepat pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar serta penyambungan bekalan air di kawasan terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di daerah Limbang ketika ini berpunca daripada kerosakan dua daripada 10 janakuasa milik SESCO.
Menurut beliau, kerosakan tersebut menyebabkan kapasiti bekalan elektrik sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa sehingga beberapa kawasan terpaksa mengalami catuan bekalan elektrik.
Bagaimanapun, beliau optimis pelaksanaan projek sistem grid negeri yang sedang dijalankan mampu menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah gangguan elektrik yang telah lama membelenggu penduduk di daerah berkenaan.



