
KOTA KINABALU – Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) menyeru orang ramai agar tampil menderma darah berikutan bekalan darah di Sabah kini berada pada tahap yang semakin mendesak.
Pengarah HQE II, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak 150 beg darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025, sebagai antara usaha menampung keperluan harian bekalan darah di seluruh negeri.
“Di Sabah, kita memerlukan antara 100,000 hingga 120,000 beg darah setahun, namun kutipan tahun lalu hanya mencecah sekitar 80,000 beg.
“Ini bermaksud, purata 300 beg darah diperlukan setiap hari bagi memastikan rawatan di hospital dapat berjalan lancar,” katanya ketika merasmikan sambutan itu di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, program yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 5 petang itu terbuka kepada orang ramai yang berkelayakan dan turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara berkala.
“Pihak hospital menyeru orang awam agar tampil membantu kerana bekalan darah yang tidak mencukupi boleh menjejaskan rawatan penting seperti pembedahan, kes kecemasan dan pesakit kronik yang memerlukan transfusi darah berterusan,” katanya.
Menurutnya, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia diadakan setiap tahun di seluruh dunia sebagai inisiatif global untuk menghargai sumbangan para penderma yang menjadi penyelamat nyawa dan menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dalam amalan murni itu.






