
SETIAUSAHA Publisiti DAP, Yeo Bee Yin dan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming disaran bercuti pada hujung tahun daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim berkata, kenyataan kontroversi dua pemimpin ini boleh meletakkan DAP dalam masalah.
“Yeo Bee Yin dan Ong Kian Ming patut bercuti pada akhir tahun untuk mengelakkan kontroversi dan menyelamatkan parti daripada masalah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan ‘meraikan’ keputusan mahkamah menolak semakan kehakiman Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak.
Kenyataan itu mengundang kritikan pemimpin UMNO termasuk desakan supaya parti itu bertindak meninggalkan Kerajaan MADANI.
Kian Ming pula susulan itu mengeluarkan kenyataan membidas Bee Yin kerana tidak menunjukkan simpati.
Beliau turut menyarankan supaya Najib diberikan pengampunan penuh memandangkan bekas perdana menteri itu telah menjalani hukuman penjara.








