
KUCHING : Beberapa jalan di sekitar Stadium Sarawak akan ditutup pada 24 Ogos ini untuk sementara waktu bagi melancarkan aliran trafik bersempena Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
“Penutupan beberapa laluan ini akan bermula pada jam 3 petang bagi melancarkan pergerakan lalu lintas sepanjang penutupan ini berlangsung sehingga selesai,” kata Ketua Polis Daerah Kuching, Mohd Farhan Lee Abdullah menerusi kenyataan hari ini .
Antara jalan yang akan ditutup ialah bulatan SESCO, bulatan Kesuma Resort, persimpangan Sumber Alam ke Stadium Perpaduan, simpang masuk ke Stadium Perpaduan dari Jalan Stadium (hadapan dan belakang).
Selain itu, beberapa jalan turut ditutup seperti simpang masuk ke Stadium Perpaduan dari Jalan Diplomatik (hadapan Pusat Akuatik), jalan masuk Pusat Akuatik Pandelela Renong 1 dan 2, jalan masuk Padang Gasing, jalan masuk Diplomatik (Squash centre), lorong masuk ke tempat letak bas serta Jalan Stadium ke simpang parkir awam.
Orang ramai yang ingin hadir dinasihatkan supaya menggunakan laluan yang dikhaskan untuk kenderaan awam iaitu, membuat pusingan ‘U’ di bulatan Casuarina kemudian melalui jalan Casuarina untuk masuk ke simpang jalan stadium (ring) dan kawasan tempat meletak kenderaan di tempat letak kereta di belakang Stadium Sarawak.
Menurut beliau lagi, orang ramai dinasihatkan menggunakan Jalan Diplomatik menghala ke Demak untuk laluan keluar.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan dan merancang perjalanan dengan memilih jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-259900.