
Oleh: Lina B.
KUCHING – Pejabat Kebajikan Masyarakat Kuching sedang berusaha mengesan ibu kandung atau waris terdekat kepada seorang bayi lelaki yang ditemui di pusat perlindungan bayi di Borneo Medical Centre, awal bulan ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak berkenaan memaklumkan bayi tersebut ditemui pada 3 Februari lalu sekitar jam 7.24 pagi dan dianggarkan berusia kira-kira 10 hari ketika dijumpai.
Menurut kenyataan itu, bayi berkenaan dibalut dengan tuala berwarna coklat dan ditinggalkan bersama sekeping nota yang mengandungi butiran yang tertera tulisan ‘AIDEN ISAAC, 3 FEB 2026 @ 0724 hrs, IBAN, KRISTIAN’.
PKM Kuching memaklumkan usaha pengesanan sedang dijalankan bagi membolehkan proses dokumentasi serta penilaian kebajikan kanak-kanak itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kerahsiaan ibu kandung atau waris yang tampil akan dilindungi. Kehadiran mereka adalah bagi tujuan pendaftaran sijil kelahiran untuk penentuan taraf kewarganegaraan selain menilai bentuk penjagaan atau penempatan yang bersesuaian demi kepentingan terbaik kanak-kanak,” dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau merupakan waris sah diminta tampil dengan menghubungi Pelindung, Norazman Abdul Rahim di talian 082-507111 atau 082-507999 atau melalui e-mel rasmi jabatan, atau hadir sendiri ke pejabat PKM Bahagian Kuching untuk tindakan lanjut.






