BAYERN Munich gagal meneruskan rekod kemenangan sempurna selepas diikat Union Berlin 2-2 namun jaringan lewat Harry Kane memastikan juara bertahan Bundesliga itu kekal tanpa kalah musim ini.
Bayern sebelum ini mencipta rekod luar biasa dengan melakar 16 kemenangan daripada 16 perlawanan dalam semua kejohanan disertai, namun tampak keletihan selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika menewaskan Paris Saint-Germain 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, Selasa lalu.
Pertahanan Union, Danilho Doekhi muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan dua gol, masing-masing sebelum dan selepas jaringan solo menakjubkan Luis Diaz.
Namun, Kane muncul wira Bayern apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-93 sekali gus menamatkan harapan Union dan mengekalkan rekod tanpa kalah Bayern musim ini.





