JOHOR BAHRU – Pemandu dan tiga penumpang bas ekspres cedera dalam kemalangan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Utara Selatan di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.50 malam.
“Siasatan awal mendapati bas jenis Scania itu dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama-sama seorang pemandu kedua juga berumur 39 tahun serta lima penumpang.
“Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Setibanya di lokasi, bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok batu pembahagi jalan,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, bas mengalami kerosakan teruk hampir keseluruhan bahagian hadapannya.
Katanya, pemandu kedua mengalami kecederaan terseliuh di leher, manakala tiga penumpang cedera ringan.
“Semua yang cedera mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah di sini.
“Pemandu utama dan dua lagi penumpang disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Azrol Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Syed Syazani Imran Syed Muzafar di talian 010-450 5209 bagi membantu siasatan.




