
MUKAH – Bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi meninggal dunia di kediamannya di Kampung Masjid Balingian pada malam Khamis.
Allahyarham Arbi Saat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun.
Berita duka berkenaan dikongsikan sendiri oleh Abdul Yakub menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
“Perginya seorang ayah adalah kehilangan yang tiada pengganti. Kasih sayang, nasihat dan pengorbanannya akan terus hidup dalam setiap kenangan,” luahnya.
Susulan perkhabaran sedih itu, hantaran berkenaan dihujani ucapan takziah daripada pelbagai pihak termasuk rakan-rakan, pemimpin masyarakat serta penduduk sekitar kawasan Balingian.

Dalam pada itu, Abdul Yakub merakamkan penghargaan atas titipan doa serta sokongan moral yang diberikan kepada keluarganya ketika berdepan detik kehilangan tersebut.
Beliau turut memohon orang ramai agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham bapanya supaya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.





