
SIBU – Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) menyalurkan bantuan berjumlah RM149,750 kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Hilir Sibu pada 22 September lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan tersebut merangkumi pelbagai keperluan seperti wang saku, makanan, pakaian harian, peralatan sekolah, kelengkapan tidur serta bahan binaan.
“Setiap mangsa akan menerima bantuan wang saku sebanyak RM100 dan RM200 untuk pakaian harian,” jelas beliau.
Ujar beliau lagi, bagi keluarga yang mempunyai anak bersekolah, bantuan untuk pakaian sekolah juga disediakan.
“Sebagai contoh, bantuan RM600 untuk tiga anak setiap keluarga,” jelas beliau lagi ketika penyerahan cek bantuan bencana kepada mangsa kebakaran pada Ahad.
Beliau turut menyatakan bantuan RM5,000 disalurkan untuk tujuan bantuan bahan binaan bagi rumah yang musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.







