
SIBU – Inisiatif kebajikan sempena Tahun Baharu Cina terus dilaksanakan sebagai usaha memastikan golongan memerlukan tidak tercicir daripada menerima sokongan dan perhatian kerajaan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 melibatkan seramai 1,078 penerima bantuan kebajikan daripada komuniti Cina di Sibu, Kanowit dan Selangau.
“Penerima yang hadir diberikan sumbangan kewangan RM100 selain hamper keperluan bernilai RM80, manakala penerima lain tetap menerima bantuan tunai yang disalurkan secara terus ke akaun bank masing-masing,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu yang berlangsung di Hotel Kingwood pada Isnin.
Fatimah turut memaklumkan Rumah Seri Kenangan (RSK) Sibu akan melalui proses baik pulih dan penambahbaikan dalam masa terdekat bagi memastikan kemudahan yang disediakan berada pada tahap selamat dan selesa untuk jangka panjang.
Sehubungan itu, penghuni RSK Sibu akan ditempatkan sementara di RSK Kuching sepanjang tempoh kerja dilaksanakan sebelum kembali semula ke Sibu sambil menasihatkan penerima bantuan agar menggunakan sumbangan yang diterima secara berhemah dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk terus berusaha memperbaiki kehidupan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




