
LAHAD DATU – Masalah jalan raya rosak di Jalan Kilang di sini yang tular di media sosial tidak dapat diselenggara akibat bantahan pihak ketiga.
Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, jalan berkenaan kini dalam keadaan yang amat teruk dengan beberapa lubang besar di kiri dan kanan jalan sehingga menyukarkan kenderaan kecil melaluinya.
Katanya, jalan negeri itu di bawah selenggaraan syarikat konsesi Globinaco Sdn. Bhd dan lokasi berkenaan telah disenaraikan untuk pembaikan pada tahun ini selain peruntukan juga telah diluluskan.
“Bagaimanapun, kerja pembaikan tidak dapat dimulakan disebabkan terdapat bantahan dari pihak ketiga yang mendakwa status tanah di lokasi tersebut masih tanah persendirian dan bukannya rizab jalan.
“Perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Tanah & Ukur (JTU) dan jabatan ini sedang menunggu pengesahan dari pihak JTU sebelum kerja-kerja pembaikan tersebut dapat dimulakan,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurutnya, Jurutera Daerah Lahad Datu turut memaklumkan bahawa terdapat individu yang menghalang pihak konsesi untuk melaksanakan kerja pembaikan jalan di lokasi tersebut.
“Individu tersebut mengakui Jalan Kilang termasuk dalam kawasan tanahnya, pihak Globinaco beberapa kali ingin melaksanakan kerja pembaikan tetapi dihalang oleh individu tersebut,” katanya.
Terdahulu, JKR Sabah mengulas sebuah video yang tular di media sosial memaparkan kerosakan teruk Jalan Kilang sehingga menimbulkan pelbagai reaksi warganet.




