PUTRAJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri insurans dan takaful dalam usaha mengawal inflasi kos perubatan dengan lebih berkesan.
Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata BNM sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, hospital swasta dan penanggung insurans serta pengendali takaful bagi memperoleh penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu itu.
Katanya, antara usaha dijalankan termasuk pemakluman lebih telus mengenai harga ubat-ubatan, kemajuan usaha pendigitalan bagi membolehkan perkongsian rekod perubatan elektronik yang akan mengurangkan keperluan pesakit menjalani ujian sama berulang kali, selain pembelian secara strategik oleh sektor swasta dan awam bagi mengurangkan kos.
“Kemajuan langkah ini akan dipantau bagi memastikan hasil disasarkan iaitu pengurangan inflasi kos perubatan akan dicapai.
“Hal ini juga penting untuk peralihan ke arah penyediaan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang mampan pada masa hadapan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, langkah lebih menyeluruh untuk menangani kos perubatan semakin meningkat di Malaysia sangat diperlukan.
Katanya, ia bagi menangani kenaikan premium pada masa hadapan dan memastikan produk MHIT terus mampu dimiliki rakyat Malaysia.



