PUTRAJAYA – Hujan lebat berterusan sejak Jumaat menyebabkan beberapa kawasan di Kemaman dilanda banjir kilat dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 16 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Geliga Pantai.
PPS tersebut diaktifkan jam 9 malam tadi, bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Difahamkan, pasukan penyelamat antaranya Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berusaha membantu memindahkan mangsa banjir ke lokasi selamat.
Sehingga jam 8 pagi, Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu merekodkan sebuah sungai di paras bahaya iaitu daerah Besut melibatkan Sungai Besut di Jambatan Keruak.






