
JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini semakin buruk apabila lebih 1,000 mangsa kini ditempatkan di 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, sehingga jam 12 tengahari tadi, jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 1,048 orang terdiri daripada 308 buah keluarga berbanding 893 mangsa membabitkan 257 keluarga yang direkodkan pagi tadi.
“Tiga buah PPS lagi turut dibuka pada tengahari ini berbanding 10 buah pada jam 8 pagi. Tiga daerah terjejas masih sama iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian. Setakat ini enam PPS dibuka di Johor Bahru, empat di Pontian dan tiga di Kulai.
“Johor Bahru menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan seramai 674 penduduk daripada 202 keluarga dipindahkan.
“Manakala, Kulai merekodkan seramai 269 penduduk daripada 76 keluarga ditempatkan di tiga PPS dan Pontian mencatatkan seramai 105 penduduk daripada 30 keluarga dipindahkan ke empat PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengarahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera menyiapkan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir yang lebih buruk.
“Pelaksanaan projek tebatan banjir harus disegerakan untuk mengurangkan situasi banjir berulang seperti yang sering melanda Johor. Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek berkaitan di negeri ini.
“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz membuat tinjauan di beberapa sungai di sekitar bandaraya bagi melihat situasi paras air sebelum menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, di sini.
Beliau menyeru semua penduduk di negeri ini untuk sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan banjir di kawasan masing-masing susulan amaran hujan berterusan sehingga esok yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.






