
JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini semakin membimbangkan apabila satu lagi daerah terbaharu iaitu Batu Pahat kini turut dilanda bah sekaligus menjadikan enam daerah keseluruhannya yang merekodkan tragedi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 8 malam tadi, Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 97 orang terdiri daripada 26 keluarga.
Katanya, ketika ini, hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana.
Menurut beliau, situasi itu sekaligus menjadikan jumlah mangsa banjir di Johor meningkat apabila mencecah 12,686 orang terdiri daripada 3,709 keluarga.
“Jumlah itu meningkat berbanding 11,776 orang daripada 3,544 keluarga pada pukul 4 petang tadi.
“Setakat ini, daerah paling teruk terjejas banjir adalah Johor Bahru (5,047 mangsa) diikuti Kluang (2,736); Pontian (1,873); Kulai (1,276) dan Kota Tinggi (1,657).
“Sehingga kini, 100 PPS masih beroperasi di semua enam daerah,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.






