Awang Tengah tegas sokong kepemimpinan, nafi dakwaan perpecahan dalaman

LAWAS – Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujud perebutan kuasa dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti seperti yang didakwa oleh portal Free Malaysia Today (FMT), sambil menyifatkan laporan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

“Fikiran untuk bermain politik kotor, apatah lagi berebut kuasa, tidak pernah terlintas dalam hati saya. Artikel FMT itu langsung tidak mempunyai kredibiliti. Ia hanyalah ‘sampah’ yang cuba melaga-lagakan kita,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Cawangan PBB Bukit Sari di sebuah hotel di Lawas pada Sabtu malam.

Menurut Awang Tengah, laporan seperti itu telah mencetuskan persepsi negatif terhadap dirinya seolah-olah beliau gila kuasa dan sedang merancang gerakan tersendiri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2026.

“Dakwaan itu menggambarkan saya sebagai seseorang yang tamak kuasa. Sedangkan saya sentiasa berpegang kepada prinsip kesetiaan dan perpaduan dalam parti,” ujarnya.

Jelas beliau, nilai-nilai tersebut telah dipupuk oleh tokoh-tokoh besar seperti Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh Premier Sarawak sekarang, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya menjunjung tinggi ajaran pemimpin-pemimpin terdahulu. Mereka sentiasa mengingatkan kami bahawa kekuatan dan kepentingan parti mesti diutamakan melebihi segala-galanya,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang bentuk politik berpuak atau faksionalisme dan sentiasa mengutamakan semangat kerja berpasukan dalam perjuangan parti.

“Saya percaya kepada nilai setiakawan, kesetiaan kepada kepimpinan dan perjuangan bersama. Parti lebih utama daripada kepentingan individu,” tegasnya.

Awang Tengah turut mengulangi komitmennya terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang disuarakan secara terbuka dalam Konvensyen PBB baru-baru ini.

“Saya bukan orang yang berpura-pura. Sokongan saya terhadap kepimpinan YAB Premier adalah ikhlas dan tidak pernah goyah. Saya akan terus berdiri teguh di belakang beliau,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut tampil menafikan laporan FMT dan menyifatkannya sebagai khabar angin yang disebarkan oleh pihak luar bagi menggugat kestabilan dalaman PBB.

“Saya kenal kedua-dua pemimpin ini secara dekat. Mereka sangat rapat dan saling menghormati. Saya tidak nampak sebarang tanda wujudnya perebutan kuasa.

“Ini cuma cerita ‘jolok sana, jolok sini’ yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang tidak memahami budaya politik Sarawak,” katanya.

Beliau turut menegaskan budaya politik dalam PBB berasaskan disiplin, kesetiaan dan rasa hormat kepada kepimpinan. 

Katanya, proses pertukaran calon atau kepimpinan sentiasa dilakukan secara berhemah tanpa berlaku pemberontakan atau sabotaj dalaman.

“Dalam PBB, kalau seseorang tidak dicalonkan pun, mereka terima dengan hati terbuka. Itulah budaya politik kita,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PBB, Mohamad Duri turut menyelar cubaan pihak luar yang cuba menggugat keharmonian dalam PBB.

“Walau apa-apa pun usaha pihak yang cemburu untuk mengganggu-gugat PBB, saya tetap menyokong penuh kepemimpinan YAB Premier Sarawak,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysia Press. 

FMT sebelum ini menerusi laporan bertajuk ‘Silent rivalry brewing in Sarawak over premiership?’ mendakwa kononnya wujud pertembungan senyap antara kem Tan Sri Abang Johari dengan Datuk Amar Awang Tengah yang didakwa sedang menyusun kedudukan masing-masing menjelang PRN 2026. Dakwaan tersebut bagaimanapun telah disangkal sepenuhnya oleh pimpinan tertinggi PBB.

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

Oleh: Siti Nur Asyikin Mohd Rosli BACHOK – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyantuni warga Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Kampung Kolam, Pak Badol…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Karnival Jom Masuk Universiti buka ruang pelajar pilih bidang berpotensi tinggi

KOTA KINABALU – Program Jom Masuk Universiti peringkat Zon Pantai Barat Sabah menjadi platform penting kepada pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pengajian…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Potongan gaji menteri bergantung keputusan PM – Fahmi

Potongan gaji menteri bergantung keputusan PM – Fahmi

Kapal Malaysia antara terawal lepasi Selat Hormuz, harga minyak turut dipengaruhi kos insurans

Kapal Malaysia antara terawal lepasi Selat Hormuz, harga minyak turut dipengaruhi kos insurans

15 peratus terjejas harga diesel, kerajaan cari jalan ringankan beban rakyat – PM

15 peratus terjejas harga diesel, kerajaan cari jalan ringankan beban rakyat – PM

PM ucap tahniah jemaah haji, doakan urusan dipermudah

PM ucap tahniah jemaah haji, doakan urusan dipermudah

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

Karnival Jom Masuk Universiti buka ruang pelajar pilih bidang berpotensi tinggi

  • By Ynom
  • April 18, 2026
Karnival Jom Masuk Universiti buka ruang pelajar pilih bidang berpotensi tinggi