SERAMAI 844 atlet yang aktif di Pahang menerima insentif menerusi Inisiatif Makmur Pahang (Kluster Atlet Makmur) tahun ini.
Insentif itu adalah antara usaha kerajaan Pahang dan Majlis Sukan Pahang (MSP) dalam menyuntik semangat dan menjaga kebajikan atlet kelahiran negeri itu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, selain insentif itu, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan lebih RM6 juta bagi pembangunan fasiliti sukan di Pahang.
“Untuk Inisiatif Makmur Pahang (Kluster Atlet Makmur) hari ini, setiap atlet menerima RM300 setiap seorang.
“Sebenarnya, program sama sudah dilaksanakan kerajaan negeri dengan nama ‘Pahang Pride Athlete’ pada 2022 dan ia diteruskan dengan penambahbaikan (insentif) kepada atlet,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian insentif itu, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pencapaian semasa atlet Pahang, Fadzli memaklumkan, seramai 78 atlet Pahang bakal mewakili negara dalam temasya Sukan SEA Thailand yang bakal membuka tirai 9 Disember ini.
Ini termasuk Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah yang akan beraksi dalam sukan polo.
Selain itu, kata Fadzli, kecemerlangan atlet dari Pahang juga menyaksikan 10 daripadanya disenaraikan dalam Program Podium yang dikendalikan Majlis Sukan Negara.
“Ini membuktikan negeri Pahang tidak ketandusan bakat dalam pelbagai disiplin sukan dan kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan ini.
“Kita berhasrat untuk mengurangkan isu membabitkan kemudahan sukan dan isu berbangkit yang lain, demi memastikan program pembangunan bakat sukan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya.





