
KUALA LUMPUR – ASEAN dan Korea Selatan terus memperkukuh kerjasama dua hala selepas hubungan antara kedua-dua pihak dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN mahu hubungan dua hala dengan Korea Selatan terus diperkasa, khususnya dalam bidang pemindahan teknologi serta kerjasama berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, perkara itu termasuk kerjasama dalam pertukaran maklumat terutama dari segi jenayah siber dan bidang berkaitan.
“Sidang (hari ini) merupakan salah satu rakan dialog ASEAN yang telah terjalin lebih daripada 30 tahun. Hubungan ASEAN dengan Republik Korea dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Ini kerana hubungan antara ASEAN dan Korea amat kukuh,” katanya kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Ke-25 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan, tiada sebarang perjanjian baharu akan dibuat, namun satu kenyataan bersama telah dikeluarkan berkenaan perkara terbabit.
“Dalam kenyataan itu, disenaraikan beberapa perkara yang perlu dilakukan bagi mempertingkatkan hubungan kerana ASEAN–Korea kini dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Pelaksanaannya perlu dijalankan di peringkat kepegawaian sebagaimana yang telah diputuskan oleh ketua-ketua negara,” katanya




