AMERIKA Syarikat (AS) mengenakan cukai import tambahan dan subsidi terhadap produk solar dieksport dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam selepas mendapati syarikat di negara berkenaan menerima bantuan kewangan dari China.
Memetik laporan The Edge, Malaysia dikenakan kadar cukai paling rendah iaitu 8.59 peratus manakala beberapa syarikat tempatan pula dikenakan kadar setinggi 81.24 peratus kerana gagal memberi kerjasama penuh dalam siasatan.
Siasatan turut mendapati wujudnya subsidi rentas negara apabila syarikat pengeluar di negara Asia Tenggara itu menerima sokongan kewangan dari China.
“Ini adalah antara siasatan cukai subsidi terawal yang mana jabatan membuat dapatan jelas bahawa syarikat menerima subsidi rentas negara,” menurut kenyataan Jabatan Perdagangan AS.
Langkah itu diambil susulan aduan difailkan tahun lalu oleh American Alliance for Solar Manufacturing Trade Committee yang menuduh pengeluar China mengalihkan operasi ke Asia Tenggara bagi mengelak cukai sedia ada.
Selain itu, kumpulan berkenaan juga mendakwa pengeluar China mengambil jalan pintas dengan menghantar produk solar ke AS melalui kilang di Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam bagi mengelak dikenakan tarif secara langsung.




