
PUTRAJAYA – Amerika Syarikat (AS) tidak lagi melihat Malaysia hanya sebagai sebuah negara kecil, namun memiliki pengaruh penting dalam memperkukuh kestabilan serantau dan global.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kejayaan rundingan seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-AS adalah bukti negara boleh terus berperanan dalam diplomasi global walaupun berada di bawah bayang-bayang kuasa besar.
Menurut beliau, keberkesanan Malaysia dalam memimpin ASEAN turut memberikan peluang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjalin hubungan lebih erat dengan kuasa besar lain di dunia, termasuk Amerika Syarikat.
“Sebagai negara kecil di mata AS, Malaysia mungkin menghadapi cabaran dalam mendapatkan perhatian utama dalam rundingan antarabangsa. Namun, dari sudut keselamatan dan hubungan antarabangsa, Malaysia berjaya menunjukkan kemampuannya dalam memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai penghubung antara Timur dan Barat.
“Malaysia telah berjaya merundingkan perjanjian-perjanjian penting dengan Amerika Syarikat, termasuk dalam bidang perdagangan, keselamatan maritim, dan kerjasama pendidikan selain Malaysia memainkan peranan penting dalam ASEAN, sebuah blok yang semakin berpengaruh di peringkat global,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN pada tahun ini berada dalam kedudukan yang sangat strategik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan hubungan ekonomi dan keselamatan serantau.
Katanya, ASEAN kini semakin dikenali sebagai blok yang berdaya saing di peringkat global, dengan Malaysia menjadi pemimpin dalam mempromosikan kerjasama ekonomi, perdagangan bebas, dan kestabilan serantau.
“Dengan kedudukan strategik Malaysia dalam ASEAN, negara ini berpeluang memperkukuh kedudukannya sebagai penghubung utama antara negara-negara ASEAN dan kuasa-kuasa besar seperti China, India, dan Amerika Syarikat. Malaysia juga boleh menggunakan platform ASEAN untuk memperluaskan akses pasaran bagi produk tempatan.
“Pada masa sama, kita dapat memperkasa kerjasama dalam bidang teknologi hijau, serta mempercepatkan usaha-usaha integrasi serantau untuk menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.
Kata Nur Ashikin, Malaysia tidak hanya akan memperkukuh pasaran dalam negeri, tetapi juga memastikan bahawa ASEAN tetap menjadi pemain penting dalam ekonomi dunia yang semakin bergantung pada kerjasama serantau.
“Dengan pendekatan positif dalam diplomasi dan kerjasama serantau, Malaysia mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih stabil dan berkembang dalam konteks ekonomi global dan keselamatan antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, TMP melaporkan Kerajaan MADANI mengatur enam strategi untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana susulan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antaranya membantu pengeksport yang terjejas khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu dan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan Kerajaan termasuk untuk pelaburan.
Selain itu, meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI terutamanya dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara, penyelarasan dasar berkaitan perdagangan melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) dan Rundingan Penyelesaian Tarif Timbal Balas Dengan Amerika Syarikat.
Sementara itu, bagi penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berpandangan, Malaysia disaran mengajak AS bekerjasama melaksanakan pelaburan ke Malaysia bagi sektor-sektor tertentu yang kurang diberikan penekanan sebagai sebahagian daripada strategi serampang dua mata dalam misi rundingan lanjut bersama negara itu.

Jelasnya, langkah tersebut bagi memastikan sektor berkaitan berkembang dan memberi kesan limpahan ekonomi kepada Malaysia, pada masa yang sama mampu meningkatkan eksport dan import antara kedua-dua negara.
“Antara sektor wajar diberi perhatian keselamatan dan keterjaminan makanan, perabot serta industri halal selain perluas jalinan pasaran produk Malaysia ke pasaran baharu dan meningkatkan eksport Malaysia ke pasaran sedia ada termasuk Singapura dan China serta Timur Tengah agar barangan tertentu yang dieksport ke AS sebelum ini dapat dikurangkan serta mengurangkan defisit dagangan AS dengan Malaysia.
“Kadar tarif diskaun yang dikenakan kepada Malaysia sebanyak 24 peratus masih lagi tinggi jika dilihat struktur ekonomi negara Malaysia yang masih kecil jika dibandingkan dengan AS walaupun negara itu merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia selepas Singapura dan China.
“Justeru langkah siri rundingan perlu terus dilakukan kerajaan Malaysia supaya kadar tarif dapat dikurangkan seminimum mungkin agar pemain industri di pasaran ekonomi Malaysia mampu berkembang,” katanya