
LUMUT – Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyempurnakan upacara penamaan dan pelancaran Kapal Tempur Pesisir (LCS) ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), pada Isnin.
Majlis penuh bersejarah itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Kapal ketiga dalam kelas LCS tersebut dinamakan sebagai Kapal Diraja (KD) Sharif Mashor, sempena nama tokoh pahlawan tersohor Sarawak yang terkenal dengan keberanian menentang penjajah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pemilihan nama Sharif Mashor adalah amat bertepatan bagi melambangkan semangat kepahlawanan, keberanian dan perjuangan dalam mempertahankan tanah air.
Menurutnya, pengabdian nama tersebut pada aset strategik TLDM itu bukan sahaja satu penghormatan kepada jasa tokoh berkenaan, malah menjadi simbol kekuatan armada TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dan TLDM dalam memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara.
“Ia selaras dengan usaha memodenkan aset pertahanan demi keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Terdahulu, Ir Azhar dalam ucapan alu-aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas kesudian Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menyempurnakan upacara tersebut yang disifatkan sebagai kenangan bermakna buat warga kerja LUNAS.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwi serta disajikan dengan persembahan deklamasi sajak dan pantomin oleh Markas Pasukan Khas Laut yang mengisahkan perjuangan Sharif Mashor.
Acara kemuncak menyaksikan Toh Puan Fauziah menyempurnakan simbolik penamaan dan pelancaran kapal, lafaz penamaan serta sesi bergambar kenangan.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada pihak TLDM dan LUNAS atas pelancaran LCS 3 yang merupakan aset strategik terkini dalam agenda pemodenan armada TLDM secara menyeluruh.
Usai acara rasmi, Tun Wan Junaidi berkenan menerima Kawalan Kehormatan Utama di Markas Armada Barat sebelum berangkat pulang menaiki helikopter khas dari Markas Udara TLDM.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir Azhar Jumaat.
Foto: Astana Sarawak





