AWAL November tahun lalu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari ada memuat naik status di laman sosial Facebook miliknya, susulan kemenangan Donald Trump dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS).
Hantaran itu ditulis atau ditaip menggunakan bahasa Inggeris.
Gaya penulisan Ahmad Fadhli menerusi ‘posting’ berkenaan sangat menarik dan boleh dikatakan sebagai ‘hampir sempurna’.
Lantas, terdapat juga komen dihantar oleh pengguna Facebook yang memuji Ketua Penerangan Pas itu, manakala ada juga yang ‘bergurau’ dan bertanya – adakah hantaran terbabit dihasilkan melalui aplikasi kecerdasan buatan (AI) ChatGPT!
Biarlah Ahmad Fadhli tulis guna bahasa apa atau memakai aplikasi apa, kerana itu bukan fokus terpenting kita.
Cuma, kita tertarik kerana beberapa bulan lalu seorang pemimpin Pas juga memuji kemenangan Trump, manakala ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam tahniah kepada Presiden AS itu, tidak sedikit pula pimpinan pembangkang tampil menyindir.
Kembali kepada isi kandungan ‘posting’ Ahmad Fadhli, dia dengan penuh harapan ingin melihat kemenangan Trump dapat menstabilkan semula negara Palestin yang bergolak sejak sekian lama.
![]()
Dia juga memohon agar Trump tidak melayan sebarang tuntutan dibuat Israel dalam hal berkaitan Semenanjung Gaza secara amnya.
Dan selepas Trump dengan ‘bangga’ dan ‘bangang’ mengumumkan mahu menjajah wilayah Palestin, kebanyakan pemimpin pembangkang memainkan isu kononnya Anwar sokong Trump!
Padahal, Anwar hanya mengutus ucapan tahniah semata-mata kepada Trump sejurus pemimpin itu selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden AS.
Selebihnya, Anwar cuma berterima kasih dengan pembabitan AS dalam rundingan secara bersama dalam menjayakan pelan gencatan senjata.
Anwar juga berulang kali menegaskan bahawa sebarang campur tangan di bumi Palestin – semasa dan selepas gencatan senjata – hanya akan mencipta konflik baharu.
Sebagai antara pimpinan utama Pas yang memiliki pengaruh agak besar, Ahmad Fadhli sepatutnya terus memuji Trump seperti biasa, seperti dibuat pada November lalu.
Mungkin jika Trump terbaca pujian dihamburkan oleh Ahmad Fadhli – dan ada rezeki untuknya – bolehlah dia berulang-alik ke AS memberi khidmat nasihat kepada Presiden AS sebanyak dua kali itu.




