
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan selamat ulang tahun perkahwinan ke-46 kepada isteri tercinta, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam perkongsian tersebut, beliau menyifatkan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sebagai cinta hati yang setia mendampingi dalam setiap suka dan duka sepanjang perjalanan hidup bersama.
“Selamat ulang tahun perkahwinan ke-46 buat Azizah, cinta hati yang setia mendampingi dalam setiap suka dan duka.
“Terima kasih atas kasih sayang, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus. Semoga Allah SWT terus memelihara dan memberkati perjalanan hidup kita,” katanya.
Hantaran itu turut disertakan tanda pagar #SampaiSyurga sebagai simbol doa dan harapan agar ikatan yang dibina terus berkekalan hingga ke akhir hayat.
Ruangan komen hantaran itu turut dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada orang ramai yang menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan rumah tangga pasangan berkenaan.
Mereka turut mendoakan agar Anwar dan Azizah terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan serta kebahagiaan berpanjangan dalam melayari kehidupan berkeluarga dan memimpin negara.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada tahun 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata.




