Anwar yakin nama, maruah Malaysia lebih hebat selepas jadi rakan BRICS

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sikap terbuka yang diambil Malaysia dalam bidang geopolitik menjadi faktor utama menarik kedatangan pelabur asing.

Selain itu katanya, hubungan akrab dengan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China termasuk juga menjadi rakan anggota BRICS bakal mengharumkan semula nama Malaysia sekali gus bangkit sekali lagi menjadi negara yang hebat di mata dunia.

“Dalam bidang geopolitik pun kita ambil sikap yang sangat terbuka. Pelaburan dari AS masih nombor satu dan kita masih mendapat dan tarikan
pelabur-pelabur besar AS.

“Tetapi sekarang ini hubungan kita dengan negara China sangat akrab dan sangat baik. Asean masih menjadi fokus utama dan baru-baru ini kita sudah menjurus juga ke teman-teman dan kawasan baharu termasuk Rusia.

“Dan syukur alhamdulillah dengan mudah sekali bila kita bentangkan pelawaan kita kepada jawatankuasa BRICS, anggota 8 negara utama BRICS, Malaysia itu diberikan keutamaan, paling mudah diterima sebagai anggota
BRICS.

“Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali salah satu daripada 8 negara menjadi anggota awal maklum kepada saya. Dia datang melawat di sini dalam lawatan rasmi pada hari Sabtu dan dia kata dalam mesyuarat lapan negara asas itu yang dipengerusikan oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, (yang turut) dihadiri Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi, negara pertama yang diusulkan ialah Malaysia.

“Putin cadang, sokongan kuat dan padu oleh negara China, India, Brazil, Ethiopia dan Afrika Selatan… terus tiada soal, mereka terima Malaysia sebagai anggota BRICS yang baharu.

“Jadi saya hendak ucap terima kasih kerana ini adalah jasa dan khidmat seluruh pengurusan kita dan sikap semua kementerian dan rakan-rakan yang telah dapat meletakkan nama Malaysia kembali harum dan kerjalah dengan lebih kuat, dengan bertanggungjawab supaya dapat kita angkat lagi maruah dan imej negara kita sebagai Malaysia yang hebat pada tahun-tahun akan datang,” katanya ketika majlis persamian DHL Express Kuala Lumpur Gateway baharu di KLIA Cargo Terminal 1 (KACT1) pada Isnin.

Menurut Anwar, hari ini menyaksikan satu perkembangan fasiliti untuk kemudahan DHL sehingga menjadikannya sebagai gateway baru yang penting di rantau ini.

“Saya tertarik mendengar penjelasan DHL tentang kemudahan-kemudahan yang terkini dan juga memastikan pelancaran kemudahan dalam logistik pengangkutan dan memungkinkan eksport dan import yang lebih lancar.

“Tetapi bila disebut ekosistem logistik, ini bukan sahaja urusan DHL. Maknanya rakan-rakan kita yang berkaitan sama ada MAB, Kementerian Pengangkutan, Kastam, Imigresen, jalan, seluruh prasarana dan logistik itu harus diambil kira. Kalau tidak, ia tidak disebut ekosistem.

“Ini yang selalu kita berikan perhatian kerana pelabuhan, pengangkutan, syarikat penerbangan dan pengurusan logistik itu sangat kritikal. Seperti mana yang kita tahu Malaysia juga disinggung sebentar tadi sudah dianggap sebagai hab semikonduktor bagi rantau ini.

“Kemudian setelah kita lihat peningkatan yang begitu meyakinkan di Selangor, Johor dan juga di Kulim Hi-Tech, kita lihat penumpuan baharu oleh syarikat-syarikat gergasi dalam bidang data center dan AI di dalam negara kita. Jadi ini semua membanggakan tetapi kalau tidak kita uruskan dengan baik, ia akan menghambat kemajuan yang kita harapkan,” kata Meneteri Kewangan itu lagi.

Anwar malah berkata, beliau tidak jangka dalam setahun ini minat pelabur besar itu telah meningkat dan angka-angka tambah meyakinkan.

“Tetapi saya ingin tekankan betapa perlunya seperti mana yang ditekankan Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan, iaitu memastikan ekosistem logistik.

“Ini saya tekankan berulang kali, kerana ekosistem itu kian bertambah bukan sahaja setakat kemudahan prasarana tetapi juga melatih, memberikan perhatian supaya ia menjadi pusat kecemerlangan dan melatih pekerja dan anak-anak yang tertumpu dalam bidang ini.

“Di sini saya ingin mengusulkan kepada pihak pengurusan DHL, sebab pelaburannya sudah meningkat, kemudahannya itu menarik dan bagi pihak kerajaan dan saya percaya lebih-lebih lagi Menteri Pengangkutan memberi perhatian khusus.

“Beliau di antara yang menggesa saya supaya hadir sebagai tanda menyokong dan memberikan perhatian kepada suatu prasarana yang penting bagi mengangkat keupayaan kita.

“Jadi yang kita minta daripada DHL seperti mana yang diusahakan oleh mana-mana syarikat besar yang lain ialah menumpukan sedikit perhatian lebih kepada pengurusan peningkatan upskilling pekerja melalui satu pusat kecemerlangan dan juga latihan yang lebih daripada kemahiran biasa. Upskilling ini kerana kita sudah tumpu dalam bidang automation, dalam bidang digital dan juga AI.

“Saya percaya DHL sebagai syarikat gergasi mampu mengupayakan anak-anak muda dalam bidang ini,” kata Anwar.

Related Posts

Tiga tahun pentadbiran PMX dari sudut pandang sosial rakyat

BERIKUT adalah sudut pandang sosial rakyat terhadap tiga tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Dapatan yang terhasil berdasarkan data rasmi, laporan kerajaan, dan statistik yang boleh disahkan.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPR keluar 446 kertas undi pos bagi PRK Kinabatangan, Lamag

KINABATANGAN – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan sebanyak 446 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ta’awun atau taktik? Bila agama dijadikan perisai kegagalan politik

Ta’awun atau taktik?  Bila agama dijadikan perisai kegagalan politik

Tiga tahun pentadbiran PMX dari sudut pandang sosial rakyat

Tiga tahun pentadbiran PMX dari sudut pandang sosial rakyat

Polis sedang cuti individu tular tampar lelaki di stesen minyak

Polis sedang cuti individu tular tampar lelaki di stesen minyak

SPR keluar 446 kertas undi pos bagi PRK Kinabatangan, Lamag

  • By Fatin
  • January 12, 2026
SPR keluar 446 kertas undi pos bagi PRK Kinabatangan, Lamag

RM21.476 juta untuk kemudahan rakyat Kadamaian, Jalan Taginambur–Kamburaon dinaik taraf

RM21.476 juta untuk kemudahan rakyat Kadamaian, Jalan Taginambur–Kamburaon dinaik taraf

Sarawak perkenal Program Bas Sekolah Percuma, rintis penggunaan teknologi pintar

Sarawak perkenal Program Bas Sekolah Percuma, rintis penggunaan teknologi pintar