PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili seluruh rakyat Malaysia, merakamkan ucapan takziah susulan nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, awal hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau amat sedih atas tragedi mengorbankan banyak nyawa itu, dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Korea Selatan serta Thailand pada waktu duka.
“Fikiran saya bersama keluarga dan insan tersayang mereka yang kehilangan nyawa dalam tragedi menyayat hati ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan pesawat Jeju Air yang membawa 181 orang dari Bangkok, Thailand, terbakar selepas terbabas dari landasan dan melanggar dinding di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.
Agensi Berita Yonhap yang memetik pihak berkuasa melaporkan, dua mangsa terselamat dan 85 mangsa disahkan maut, manakala baki yang sebelum ini dilaporkan parah pula dianggap ‘sudah meninggal dunia’.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tragedi terbabit berlaku ketika ramai sedang berkumpul bersama keluarga dan sahabat sempena cuti tahun baharu.
“Kehilangan mengerikan ini mengingatkan kita betapa berharga dan rapuhnya hidup.
“Marilah kita meluangkan sedikit masa untuk menghargai orang di sekeliling kita,” katanya.






