Anwar puji keazaman Kenya perangi kemiskinan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji keazaman dan komitmen kukuh kerajaan Kenya dalam usaha menoktahkan kemiskinan serta menyediakan perumahan mampu milik, sambil menyifatkan pendekatan negara itu sebagai contoh kepemimpinan luar biasa.

Mengaitkan agenda tersebut dengan pendekatan Malaysia dalam menangani kemiskinan tegar, Anwar berkata, “saya juga, seperti anda, amat bersemangat dalam usaha menoktahkan kemiskinan dan menyediakan perumahan untuk golongan miskin serta rakyat.”

Berucap pada majlis jamuan negara yang dihoskan Presiden Kenya, William Samoei Ruto malam tadi, Perdana Menteri berkata program bercita-cita tinggi Kenya yang menyasarkan pembinaan lebih 150,000 unit kediaman untuk golongan berpendapatan rendah mencerminkan kepemimpinan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Anwar, yang berada di Kenya bagi rangka lawatan rasmi dua hari, turut menyatakan beliau terinspirasi oleh usaha kerajaan negara itu menggunakan kuasa dan tadbir urus untuk mengangkat martabat golongan miskin, suatu perjuangan yang menurutnya selari dengan semangat Jomo Kenyatta.

Kenyatta merupakan Presiden pertama Kenya dan tokoh penting dalam gerakan kemerdekaan negara berkenaan, berkhidmat dari 1964 hingga kematiannya pada 1978.

Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia dan Kenya mempunyai ruang luas untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan. Malaysia, katanya, bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang semikonduktor serta sektor elektrik dan elektronik, selain mempelajari pembangunan pesat Kenya yang digerakkan oleh kesungguhan kepimpinannya.

Beliau berkata perbincangan antara kedua-dua negara akan diteruskan hari ini dan akan meliputi perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi yang lebih menyeluruh dalam mesyuarat dua hala.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan Malaysia.

Kenya bersempadan dengan Sudan Selatan di timur laut, Ethiopia di utara, Somalia di timur, Lautan Hindi di tenggara, Tanzania di barat daya serta Tasik Victoria dan Uganda di barat.

Pada 2024, Kenya muncul sebagai rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai dagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

Perdana Menteri dijadual berlepas pulang dari Nairobi ke Malaysia lewat hari ini, sekali gus mengakhiri lawatan beliau ke tiga negara di benua Afrika.

Related Posts

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

DALAM keadaan dunia yang semakin tidak stabil, langkah Malaysia melalui Petronas untuk berunding mendapatkan bekalan minyak dari Rusia membuktikan satu perkara penting: kepentingan rakyat sentiasa diutamakan melebihi tekanan geopolitik luar.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di Kampung Bukit Pauh, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Wanita ditahan, lima senjata api termasuk M-16 dirampas

Wanita ditahan, lima senjata api termasuk M-16 dirampas

Wolves turun liga selepas gagal elak penyingkiran

Wolves turun liga selepas gagal elak penyingkiran

Hujan lebat dua jam akibatkan banjir kilat di Cameron Highlands

Hujan lebat dua jam akibatkan banjir kilat di Cameron Highlands

UMS, DBP ganding bahu martabat bahasa dan sastera kanak-kanak

UMS, DBP ganding bahu martabat bahasa dan sastera kanak-kanak

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan