
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mencuri masanya ketika melakukan lawatan ke Bahrain untuk menziarahi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri memuat naik beberapa foto pertemuan beliau dengan Sultan Ibrahim yang nampak ceria dan sihat.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan di mana pertemuan itu diadakan.
“Menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menyembah maklum beberapa urusan negara.
“Alhamdulillah saya juga berkesempatan bertanya khabar kesihatan Baginda Tuanku usai menjalani rawatan tempoh hari.
“Semoga Baginda Tuanku terus dikurniakan keafiatan yang baik untuk memayungi negara, Insya-Allah,” katanya.
Semalam, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada Jumaat ini.
Istana Negara memaklumkan perkara itu dalam hantaran yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut kenyataan itu, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.
“Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan itu.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda, Tunku Panglima Johor,Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.






