KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis mendesak pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap hasutan dan fitnah yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kononnya menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja.
Ketuanya, Ahmad Azzin Izzad Bahanuddin berkata, beliau menyedari beberapa hantaran dimuat naik oleh ketua pembangkang dan pemimpin politik lain yang mendakwa Anwar menderhaka kepada pihak istana berkait isu Titah Adendum Agong ke-16.
“Ini adalah fitnah terhadap Perdana Menteri daripada pihak pembangkang yang mendakwa beliau menderhaka. Kami telah membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa menyiasat perkara ini.
“Kita tidak mahu isu ini menjadi polemik yang dimainkan pihak pembangkang. Oleh itu, kami menggunakan jalur undang-undang untuk menghentikan perkara tersebut,” katanya kepada The Malaysia Press.
Ahmad Azzin turut berharap orang ramai tidak mudah termakan dakyah yang dimainkan pihak pembangkang mengenai isu kononnya Perdana Menteri menderhaka sebaliknya, rakyat disarankan membuat kaji selidik sebelum mengulas isu itu di media sosial.
Difahamkan, kira-kira 14 laporan polis telah dibuat di di beberapa buah Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh Perlis sejak pukul 5 petang tadi.
Menurut Ahmad Azzin, antara hantaran yang mengandungi unsur fitnah termasuk dakwaan bahawa Anwar menafikan dan menyembunyikan Titah Adendum berkait penahanan rumah Datuk Seri Najib Razak. Hantaran itu didakwa dibuat oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Selain itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, turut didakwa berkongsi hantaran Hamzah dengan kapsyen berunsur fitnah, mendakwa kerajaan Malaysia menipu rakyat dan menderhaka titah Agong ke-16.
“Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula turut memuat naik hantaran serupa, mendakwa kerajaan menipu dan menderhaka.
“Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari, pula memuat naik hantaran berunsur fitnah, mendakwa kerajaan mencemarkan sistem kehakiman negara,” jelasnya.
Ahmad Azzin turut mendakwa Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia, S. Subramaniam, membuat tuduhan bahawa Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet melakukan penipuan serta penderhakaan terhadap Rukun Negara dan institusi raja.





