
KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah memilih pendekatan tidak menabur janji bulan dan bintang kepada 66,318 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Sebaliknya, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu berikrar sentiasa bersedia mendengar keluh-kesah masyarakat setempat tanpa membezakan agama dan warna kulit.
“Sebagai seorang calon wakil rakyat muda, kami tidak mengamalkan janji bulan dan bintang.
“Tetapi apa yang kami kekalkan adalah sifat kekeluargaan maksudnya setiap bangsa dan agama ini dekat di hati saya.
“Dan kita membuka ruang untuk mereka menceritakan masalah yang ditanggung kepada saya,” katanya ketika ditemui media selepas program ramah mesra bersama masyarakat India di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Padang Tembak, malam tadi.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) masih berbincang sama ada wujud keperluan untuk melaksanakan manifesto khas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang kini masuk hari kelima berkempen.
Syed Hussien berkata, setakat hari ini gerakan kempen BN adalah berteraskan Agenda Maju Johor 2030.
Menurutnya, agenda itu sendiri telah merangkumi pelbagai aspek untuk semua peringkat masyarakat dan hanya perlu diperkasakan di peringkat kawasan itu.
“Secara khususnya kami masih berbincang (untuk umum manifesto PRK DUN Mahkota) tapi asasnya, kita akan perkasakan teras (Agenda) Maju Johor (2030),” katanya.
Sementara itu, Exco Perpaduan,Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar optimis dengan penerimaan masyarakat India terhadap Syed Hussien mengambil kira bantuan Kerajaan Johor yang tidak pernah meminggirkan mereka.

Katanya, peruntukan dana lebih RM16 juta yang disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) melalui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sejak lebih dua tahun mentadbir negeri ini, turut dinikmati masyarakat India.
“Ini merupakan satu pencapaian yang agak tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Kerajaan Johor memang tak tinggalkan bangsa Johor. Konsep itu penting…Masyarakat India juga tidak ketinggalan daripada segi bantuan dana yang diberikan,” katanya.







