
KUCHING – Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berhasrat mahu menganjurkan program SAMAsiswa Melayu Sarawak pada skala besar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Ir Ts Dr Al-Khalid Othman, penganjuran program ini mampu memberi impak kepada mahasiswa dalam memperkasa warisan Melayu Sarawak.
“Program ini juga dapat meningkatkan jati diri pelajar sekali gus melatih mereka menjadi pemimpin yang berwibawa atau ‘servant leader’ (pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri serta berkhidmat kepada masyarakat,” ujar beliau.
Tambah beliau, cadangan program ini juga diharap dapart dilakukan pada skala besar sekali gus melibatkan banyak universiti lain.
“Mungkin juga kita berharap penyertaan pelajar dari bahagian Kuching, Sibu, Bintulu, Miri serta lain-lain,” kata beliau kepada pemberita selepas menyempurnakan Program SAMAsiswa Melayu Sarawak 2024 di Sumiran Eco Park & Resort Kuching pada Ahad.
Sementara itu, Pengurus Besar AKYBMS, Datuk Sanib Said menyambut baik cadangan tersebut kerana ia mampu memantapkan penganjuran program SAMAsiswa Melayu Sarawak.
Seramai 35 pelajar Unimas menyertai program SAMAsiswa Melayu Sarawak yang berlangsung dari 28 Disember hingga 29 Disember.
