
KUCHING – Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Sarawak bagi menyokong agenda pembangunan yang berteraskan infrastruktur masa hadapan dan teknologi tenaga bersih.
Wakil AIIB, Kim See Lim berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Sarawak serta mandat institusi kewangan antarabangsa berkenaan.
Menurutnya, lawatan ke Bumi Kenyalang itu bertujuan mendengar secara langsung matlamat pembangunan negara selain mengenal pasti potensi kerjasama yang boleh dilaksanakan.
“Kami berbesar hati berada di Sarawak untuk memahami aspirasi pembangunan Malaysia serta meneroka bagaimana AIIB boleh bekerjasama menyokong agenda tersebut.
“Hasrat Sarawak untuk melabur dalam teknologi generasi baharu, khususnya tenaga boleh diperbaharui amat sejajar dengan mandat AIIB yang memfokuskan pembiayaan dan pelaburan infrastruktur masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Kim See memberitahu, perbincangan bersama Abang Johari telah mengukuhkan keyakinan pihaknya terhadap hala tuju negeri itu.
Ujarnya, AIIB bukan sahaja menekankan aspek perancangan, malah memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek yang bersifat praktikal dan berimpak tinggi.
“Kami percaya bukan sekadar visi dan perbincangan yang penting, tetapi pelaksanaan projek serta merealisasikannya ke peringkat yang nyata,” jelasnya.
Antara bidang kerjasama yang dibincangkan ialah pembangunan hidrogen, pemerangkapan dan pengurusan karbon, pembangunan bahan api generasi baharu untuk sektor penerbangan serta agenda keterhubungan serantau ASEAN.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



